Pada minggu ini, Biro Pembangunan Keusahawanan menganjurkan
Minggu Keusahawan di kolej kediaman aku. Program dijalankan pada hari Isnin
sehingga Khamis. Aku merupakan salah seorang ahli Biro ICT dan kami memutuskan
untuk menjual bihun sup, soto dan bakso. Gerai kami bernama Gerai Bakso Mak
Jah. Kenapa Mak Jah? Sebab MEP Biro ICT – Dalila menyertai pertandingan teater
kolej sempena ICAF dan membawa watak Mak Jah.
Pada hari Ahad – sehari sebelum jualan bermula, kami semua
berkumpul untuk praktis memasak sup bersama Dalila. Tidak semua turun pada
petang itu, aku pula turun untuk menyokong mereka. Apa yang aku perhatikan,
hanya Dalila sahaja yang tahu memasak sup – itupun dia mendapatkan resepi dari
kawan dia yang memasak bakso pada Minggu Keusahawanan tahun lepas. Ahli yang
lain rata-ratanya aku tengok macam tak pandai memasak sup. Aku memang duduk
diam sahajalah – sebab aku pun tak pernah memasak sup!
Aku dapat merasakan yang sup ini tidak berjaya. Aku
bermonolog, ‘kalau semua tak tahu masak sup, tak payah lah jual bakso!
Memanglah tahun lepas mereka untung besar – Rm 700 sebab jual bakso.
Masalahnya, tahun lepas memang ada yang tahu masak. Tahun ni aku tengok semua
tak pandai masak!’ Hmm aku memutuskan untuk tidak beria-ria menonjolkan diri,
hanya apabila aku bertugas sahaja aku turun – malas aku ambil tahu.
Aku bertugas pada Selasa petang, Rabu pagi dan Khamis
petang. Pada hari Isnin – hari pertama Minggu Keusahawanan aku tidak bertugas
memandangkan aku ada kelas dari jam 8 pagi sehingga 2 petang kemudian sambung
pula pada jam 3 petang hingga 5 petang. Pada jam 12 petang, Group Whatsapp Biro
ICT 15/16 mula memekak. Kecoh memanggil ahli yang free untuk turun memasak kerana
yang bertugas pagi itu ada kelas di sebelah petang. Kebetulan kelas aku yang
tamat pukul 2 itu tamat awal, jam 12.30 petang sudah tamat. Usai makan tengah
hari aku jenguk mereka yang sedang memasak.
Semasa aku sampai di tempat memasak, sup sudah siap masak,
cuma hendak tunggu ia mendidih. Terkejut juga aku melihat, sup itu dimasak dalam
periuk besar – rasa aku radius periuk itu adalah dalam 3 jengkal tangan aku.
Aku membuka penutup periuk. Kelihatan bebola-bebola daging timbul di permukaan
sup – hampir melimpah. Aku membebel sendirian kerana mereka meletakkan terlalu
banyak air – sampaikan bebola daging yang timbul itu bersentuhan dengan penutup
periuk. Sup yang mereka masak juga cair. Hmm aku tak tahu lah laku ke tak bakso
kami nanti.
Sesi berniaga bermula jam 5 petang sehingga 11 malam. Tetapi
malam itu aku dapat tahu yang gerai kami tutup awal. Jam 8 malam sudah tutup.
Kenapa tutup awal? Tak laku ke? Tak lah. Sebab sup, bihun dan semua bahan
jualan sudah habis licin. Wahhh ada juga yang beli sup cair itu.
Esoknya – Selasa aku bertugas pada waktu petang. Habis
sahaja kelas jam 1.30 petang, aku terus ke tempat memasak. Yang memasak pada
hari itu tidak memasak pada hari Isnin. Jadi mereka terkebil-kebil hendak
masak. Masa aku sampai, mereka baru menumis dan mereka memasukkan sedikit air
didalamnya. Aku melihat ayam mentah yang masih belum dimasukkan. Aku mengeluh.
Setahu aku selepas bahan tumisan sudah naik bau, ayam perlu dimasukkan dahulu,
tunggu sehingga ia masak sedikit kemudian baru masukkan air. Aku mengambil alih
tugas masakan pada hari itu. Mereka yang lain membantu aku menyediakan bahan
seperti di dalam resepi dan merasa sup itu – untuk mengelakkan rasa itu tidak
ummmphh macam semalam.
Alhamdulillah sup pada hari itu sedap berbanding semalam. Hampir
7 petang, sup hampir licin. Dalila – mep biro ICT memasak sup untuk kali kedua,
tapi menggunakan periuk yang bersaiz biasa sahajalah – tidak terlalu besar dan
tidak terlalu kecil. Nampaknya bakso kami mendapat permintaan yang tinggi.
Rabu – seharian aku memang tiada kelas. Aku bertugas di sebelah pagi. Pagi itu, ahli biro lelaki yang sepatutnya keluar membeli bahan masakan lambat membeli bahan. Aku dan dua orang rakan perempuan yang lain – Fatin dan Nazahah, memasak dahulu apa yang ada seperti menggoreng kacang dan menggoreng suhun untuk soto. Hampir jam 12 tengah hari baru mereka sampai. Sampai sahaja aku terus menyiang ayam yang sudah dipotong – 2 ekor dan rakan lelaki yang membeli barang tadi menwarkan diri untuk membasuh ayam sehingga bersih. Nazahah menguruskan kacang dan Fatin pula mengupas bawang dan halia untuk tumisan.
Usai basuh ayam, bahan tumisan juga sudah siap disediakan,
aku mula memasak. Sambil memasak kami menangkap gambar sebagai kenangan.
Alhamdulillah proses memasak berjalan dengan lancar. Petang itu seperti biasa
Dalila memasak sup untuk kali kedua – periuk kecil sebagai tambahan. Kebetulan
malam itu ada lawatan dari TNC (Timbalan Naib Censelor). Semua pelajar tahun
satu wajib turun dan memakai t-shirt universiti yang berwarna merah. Pada jam 6
petang aku baru berpeluang untuk menyidai pakaian yang aku basuh pagi itu dan
aku baru perasan t-shirt uni juga baru basuh. Selepas berbincang dengan Dalila
yang aku tidak dapat hadir malam itu, aku perlu menjaga gerai – pelajar tahun 1
dilarang duduk di dalam bilik pada malam itu. Jam 8 malam aku turun ke gerai.
Mereka meminta aku memasak sup untuk kali ketiga pada malam itu.
Aku terus ke tempat memasak untuk memasak sup. Bahan masakan
tidak mencukupi. Aku guna sahaja mana yang ada asalkan ada rasa macam sup.
Malam itu jualan kami juga habis licin, habis sahaja jualan, kami menutup
gerai. Ketika itu jam baru sahaja menjengah 9.30 malam. Alhamdulillah jualan
kami pada malam itu mencecah Rm 500.
Hari khamis aku memasak sup di sebelah petang – periuk
sederhana. Dalila yang memasak sup periuk besar. Masih lagi satu periuk besar
dan dua periuk sederhana seperti hari yang sebelum ini. Malam itu gerai kami
juga – seperti biasa – tutup awal. Habis jualan kami berjalan-jalan menjengah
gerai-gerai lain. Ada yang menjual makanan western seperti spaghetti, cheesy
wedges, float, murtabak maggi, ais jagung, air cendol, koktail, dan pelbagai
lagi. Malam penutup Minggu Keusahawanan meriah dengan aktiviti cabutan bertuah.
Yang seronoknya, timbalan pengetua kolej kami telah menaja enam hadiah barangan
elektrik sebagai cabutan bertuah tambahan. Dua orang rakan aku menang cabutan
bertuah barangan elektrik. Seorang dapat pembakar roti, seorang lagi dapat
pembancuh kopi (coffee maker). Aku tumpang gembira.
Malam itu kami mengira untung yang kami peroleh sepanjang
empat hari berniaga. Alhamdulillah untung mencecah lebih daripada Rm 1000.
Semua ahli biro aku gembira dan berpuas hati.
No comments:
Post a Comment