Monday, 23 November 2015

Emosi





Setiap manusia mempunyai emosi – perasaan yang kuat – nangis, ketawa, sedih, marah, takut dan sebagainya. Melalui rujukan aku di internet, emosi merupakan bahasa dalaman seseorang yang berkait rapat dengan tindak balas (fizikal) daripada sensitiviti perasaan dalaman dan luaran (pergaulan sosial). Ia adalah satu pergerakan dalam minda yang dikeluarkan oleh pengaruh luaran. Minda adalah pasif dan sentiasa menerima semua yang terlintas untuk mempengaruhinya. Apabila minda tersebut bangkit, untuk menunjukkan apa yang dirasainya, maka itulah yang dimaksudkan sebagai emosi.

Ada masa emosi kita stabil, adakalanya tidak. Sebagai seorang yang matang, kita harus pandai mengawal emosi kita. Tetapi ada juga masa-masa tertentu kau memang tak boleh kawal emosi kau, mungkin sebab kau sangat tertekan, atau kesabaran kau sudah sampai ke limitnya. Bercerita pasal emosi, aku juga ada kisah aku tersendiri.

                Aku merupakan seorang yang sensitif – mudah menangis. Tapi aku ada ego aku tersendiri. Aku ego untuk menangis depan orang lain. Aku malu nak menangis depan orang lain sebenarnya. Aku tak nak mereka nampak aku lemah, tak nak mereka nampak aku lembik. Tapi disebabkan satu insiden ni, aku tak boleh nak tahan air mata aku. Aku menangis je depan kawan-kawan aku. Bukan. Aku menangis bersama-sama mereka.

                Insiden ni berlaku semasa aku berada di tingkatan 5. Hari itu merupakan hari lahir guru aku. Dia seorang wanita yang berumur 30-an, bertudung labuh menutup dada dan berbusana muslimah. Dia mengajar aku dan rakan sekelas subjek addmath (matematik tambahan) sejak kami berada di tingkatan 4 lagi. Dan dia merupakan satu-satunya guru addmath di sekolah kami.

                Aku dan rakan-rakan ingin membuat kejutan padanya. Kek buah 1 kg telah aku beli petang sebelum hari jadinya. Kesemua rakan sekelas tidak sabar untuk menjamah kek itu. Pada hari itu juga, sekolah kami ada rehearsal untuk program keesokkan harinya. Jadi pada hari itu semua pelajar membantu guru membuat persiapan, pelajar tidak boleh naik ke blok bilik darjah malah kami perlu berkumpul di dewan dengan pengawasan guru.

                Jam lebih kurang pukul 9 pagi. Melihat guru addmath itu tidak terlalu sibuk di belakang dewan, kami merancang untuk membuat kejutan pada masa itu. Aku dan rakan sekelas pergi ke kantin, untuk mengambil kek yang kami simpan di dalam peti, dan untuk memasang lilin. Semasa di kaunter kantin, kami bertembung dengan guru kimia kami yang kebetulan baru habis sarapan pagi dan ingin membanyar bil makanannya. Ah, guru tua itu. Kami satu kelas tidak suka padanya. Mengajar kimia seperti tidak mempunyai input yang dalam tentang kimia. Apabila pelajar gagal, tahu pula dia bising kerana harus menjawab persoalan pengetua sekolah – mengapa ramai pelajar gagal subjek kimia? Semasa bertembung, dia memarahi kami yang datang ke kantin di luar waktu rehat. Kami diam sahaja, malas menjawab, lagipun tujuan kami ke kantin bukannya mahu makan atau minum. Kami mahu mengambil kek sahaja. Lagipun, kami bukan ada kelas pun pada masa itu. Guru kimia itu belalu ke dewan, yang terletak di sebelah kantin.

                Setelah memasang lilin, kami bergegas hendak ke belakang dewan. Ketika hampir berada di luar kantin, kami nampak guru addmath kami berjalan ke arah kantin. Aku yang sedang memegang kek menyuruh kawan-kawan aku cover aku supaya cikgu tidak nampak kek yang aku pegang. Bukan main gembira lagi perasaan kami, ini merupakan kali pertama kami menyambut hari lahirnya, dan mungkin kali terakhir juga, lagipun kami sudahpun berada di tahun akhir alam persekolahan. Belum sempat kami memberi kejutan, kami dulu diberi kejutan dengan tengkingan daripadanya. Dia memarahi kami seperti berada di kantin pada waktu ini adalah kesalahan yang paling besar dan memalukan dia sebagai guru kelas kami. Dia marah-marah kerana nama kelas kami selalu menjadi bahan bualan guru-guru di bilik guru – tentu sahajalah cerita yang tidak baik. Dan yang paling memberangkan, cerita itu digembar-gembur oleh guru kimia. Dia menghamburkan segala kemarahannya terhadap guru kimia itu kepada kami. Emosinya tidak stabil.

Dia menengking kami dengan suara yang lantang. Menengking kami di kantin, di hadapan guru-guru yang sedang bersarapan pagi, di hadapan makcik kantin, di hadapan pelajar yang sedang lalu berdekatan kantin. DIA MENENGKING KAMI DI HADAPAN KHALAYAK RAMAI. Seolah-olah kami adalah anak didiknya yang sangat-sangat teruk. Kami semua kaku. Terdiam seribu bahasa.

                Tangan aku yang sedang memegang kek mula menggeletar. Mata mula berair. Aku tidak pasti sama ada dia nampak atau tidak kek itu. Selesai dia menengking, dia terus berlalu meninggalkan kami. Muka rakan-rakan aku mulai merah padam dan air mata mula bertakung di birai mata. Akhirnya air mata itu menitis jugak. Kami semua mula menangis. Tangan aku terketar-ketar memegang kek. Seorang rakan aku, mengajak aku meletakkan semula kek itu di dalam kotaknya semula, di mana kotaknya kami tinggalkan di kaunter kantin aku. Aku meminta dia supaya mengambil kek itu dari tangan aku, dan meletakkan di dalam kotak kerana dengan keadaan tangan aku yang menggeletar itu, aku takut kek itu jatuh.

                Kalau kau jadi aku, apakah kau akan menangis? Aku paling ego untuk menangis di depan orang lain, tapi kali ni aku tak tahan. Aku dimalukan di hadapan khalayak ramai. Emosi sedih dan malu menguasai diri.

Kami memutuskan untuk memberi sahaja kek itu kepada guru addmath itu. Kami tinggalkan kek itu di meja nya di bilik guru, dan meninggalkan nota minta maaf dan selamat hari jadi. Lalu kami berkurung sahaja di dalam kelas. Dengan mata merah, dan kadang-kadang masih teresak-esak, hidung mula berhingus, kami rasa tak mampu untuk berdiri di khalayak ramai. Rehat jam 10.20 pagi, aku tak turun ke kantin. Aku tidak mahu berbuat demikian.

Aku sudah membayangkan, hari itu sepatutnya menjadi hari yang menggembirakan bagi kami sekelas, makan kek bersama-sama, berborak dan bergelak ketawa. Tetapi sekelip mata sahaja hari itu meninggalkan kenangan pahit dalam hidup kami semua. Sejak itu, kami makin benci dengan cikgu kimia. Selalu sahaja kami mengutuk si tua itu. Kerana dialah si batu apinya. Si cikgu addmath pula, masuk kelas dengan reaksi bersahaja saja, seperti tidak berlaku apa-apa. Kami diam sahaja dan tidak mahu mengungkit. Lagipun kami akan menghadapi SPM, jadi kalau boleh malas hendak bergaduh dengan guru-guru.

Pada hari keputusan SPM keluar, ranking mata pelajaran sains di sekolah kami didahului dengan mata pelajaran addmath, kemudian fizik, kemudian biologi dan akhir sekali kimia. Kimia yang selalunya mendapat ranking pertama berbanding tiga subjek lain, tapi untuk batch kami, kimia di ranking terakhir. Padan pun, balasan untuk kami yang selalu kutuk cikgu kimia kami. Result spm kimia tidak memuaskan langsung. Beberapa orang sahaja di antara kami yang mendapat kredit untuk subjek itu. Untuk mata pelajaran Addmath yang selalunya di ranking akhir, untuk batch kami dapat ranking yang pertama pula. Terpancar kegembiraan di wajah si guru addmath. Aku tumpang gembira.

Seingat aku, sampai lah ke hari ini, kami tidak pernah mengungkit tentang perkara ini di hadapan cikgu addmath. Dan dia, tidak pernah pun meminta maaf kepada kami kena telah menengking kami di khalayak ramai. Aku tunggu juga dia meminta maaf, tapi nampaknya ego dia sebagai guru amat tinggi. Mungkin seorang guru tidak perlu meminta maaf kepada seorang pelajar. Mungkin. Ataupun aku yang masih mentah untuk mentelah hati seorang guru.



No comments:

Post a Comment