1. BAGAIKAN PUTERI
Haryani dan Laksamana Sunan...
saling jatuh cinta. Pertemuan kedua insan ini dalam satu dimensi di luar batas jangkauan manusia, malah sukar diterima lojik akal. Mereka dari zaman yang berbeza.
Haryani terperangkap dalam perkelahian antara kebaikan dan kebatilan manusia. Perjalanan yang panjang, penuh ranjau dan cabaran membuatkan Haryani dan Saifudin mendiamkan sahaja cinta yang terpendam.
Dani... pertama kali melihat Haryani yang terlantar koma di hospital terus jatuh hati. Dia berusaha membawa Haryani kembali semula ke abad 21.
Antara dua lelaki, Haryani terpaksa membuat pilihan. Antara dua nyawa dalam jasadnya; sama ada tinggal bersama Laksamana Sunan pada penghujung kurun ke 15 atau kembali semula ke abad 21. Tiada dua kehidupan dalam zaman yang berlainan. Salah satu kehidupan itu mesti mati! - SINOPSIS
2. CINTA SANG RATU
Akhir kurun ke-15, Ratu Sulaman terus memerhatikan kerumunan orang ramai. Dia tertinjau-tinjau dan mengharapkan Laksamana Sunan segera bangkit. Seketika tadi dia berjaya melepaskan sebilah anak panah tepat ke belakang lelaki itu. Jantungnya kini bagai direntap kasar apabila melihat jasad Laksamana Sunan diusung beramai-ramai. Hatinya rawan teringatkan ucapan lelaki itu kepadanya.
Awal abad ke-21, bersendirian di bilik tidur, Haryani meraih ingatannya kepada Dani. Lelaki yang telah menyelamatkan nyawanya itu kini hilang sewktu tsunami melanda Aceh. Harapan untuk Dani hidup amat tipis. Tidak mungkin Dani selamat dari badai ombak itu. hanya kata-kata Dani sahaja yang menjadi pengubat resahnya. - SINOPSIS
3. HIJAB SANG PENCINTA
RASA rindu terhadap keluarga menggamit hati Saifudin merentasi Tanah Sumatera untuk pulang ke Punggor, Tanah Melayu. Namun, kejahatan seolah-olah memburunya. Setiap langkahnya dibayangi halangan yang tak berkesudahan.
Berita kepulangannya di Tanah Melayu sampai ke pengetahuan Sultan Melaka. Kemarahan baginda kerana tidak dapat mengahwini Haryani menyebabkan dia mula menjadi buruan orang istana.
Saifudin lari ke gua. Di situlah bermulanya satu lagi keajaiban. Jasadnya berpindah merentasi hijab masa untuk sampai ke abad 21. Sekali lagi Saifudin bertemu dengan Haryani dan kisah cinta yang melangkaui masa mekar semula.
Namun, kejahatan yang senantiasa mengiringi setiap injak kakinya masih mengekori. Kali ini tebakan musuh durjana mengakibatkan sengketa yang tercetus di langit berlaku lagi.
HIJAB SANG PENCINTA - pelengkap trilogi Bagaikan Puteri dan Cinta Sang Ratu ini sarat dengan konflik hingga ke akhir. Lagenda minda, Saifudin atau Laksamana Sunan ciptaan Ramlee Awang Murshid sekali lagi menggentar perasaan dan menggetar naluri anda yang menghayatinya. Ikutilah epik thriller ini... - SINOPSIS
4. CINTA SUFI
PILU hati saat dikhabarkan suaminya gugur di medan perang, Catalina rebah tidak sedarkan diri. Sebaik terjaga, dia membicarakan hajatnya ke Hulu Melaka.
Ingin mencari lelaki bertanduk dua.
Tanpa diduga, takdir menentukan Laksamana Sunan lelaki yang dicari Catalina. Malangnya, Laksamana Sunan bukan lagi wirawan. Kudratnya lenyap dan ditawan penjajah yang menakluk Melaka. Hampir dibunuh musuh, dia diselamatkan oleh cinta yang dipendam Luna.
Laksamana Sunan, Catalina dan Luna... bukan sekadar terperangkap dalam perjalanan yang berliku, malah terkurung dalam cinta segi tiga yang terlafaz dan tersembunyi. CINTA SUFI Sebuah kesinambungan trilogi Bagaikan Puteri, dipenuhi aksi pengembaraan dan pertembungan antara kebaikan dan kebatilan, yang nyata dan mistik. Disemarakkan lagi dengan rasa cinta dan pengorbanan. - SINOPSIS
5. SUTERA BIDADARI
Saifudin - Muncul semula dari Tasik Hulu Melaka setelah 6 purnama dalam pengawasan dan rawatan Hang Tuah. Pengambaraan pun bermula ke Negeri Atas Angin untuk memburu Taghut durjana. Pelayaran telah mengundang banyak pancaroba. Namun, dia tetap berazam dan bertawakal memburu musuh yang telah banyak menyesatkan manusia.
Raja Roman - Setelah Sang Petala berlepas diri, Taghut terkapai-kapai hilang kesaktian. Lebih mendukacitakan apabila dia kematian permaisurinya... Sutera. Namun, dia masih berazam untuk menghapuskan Laksamana Sunan sehingga ke hujung nyawa.
Makhluk Sumpahan - Sang Dewi muncul akibat sumpahan Maharani Pulau Utara sebelum kerajaan itu runtuh suatu waktu dahulu. Sang Dewi menyeru nama Saifudin menerusi lontaran suara naluri. Sang Dewi kerap memerangkap Saifudin ke alam tidak berdinding.
Saifullah - Pada abad ke 21 ini, dia memburu sisa kejahatan yang berlanjutan dari tahun 1511. Abid Kamal dan Shahril turut menyertainya kerana Saifullah mirip Saifudin yang pernah hidup pada tahun 1511.
Ramlee Awang Murshid - Sutera Bidadari, bukan hanya mempamerkan aksi lasak yang menguja pembacaan, malah turut memanipulasikan emosi kerana karya kali ini menggabungkan kedua-dua elemen yang tidak terungkai sehinggalah ke noktah terakhir. - SINOPSIS
6. SUNAN MUSAFIR
ALLAH menciptakan cinta, justeru cinta harus dipertahankan dengan sebaik-baik cara. Maka itu sebagai manusia, Saifudin atau Laksamana Sunan tidak terlepas daripada belenggu cinta.
Tahun 1511 merupakan detik keindahan, cabaran serta air mata. Pengembaraan Saifudin berserta sahabat-sahabatnya ternyata bukan satu perjalanan yang mudah.
Fikiran Saifudin agak terganggu apabila mendengar khabar bahawa isterinya masih hidup. Namun, benarkah Sang Dewi itu adalah isterinya, Ratna mantan Ratu Sulaman? Atau sekadar jelmaan?
Pada tahun 1531 – Saifudin yang sudah berusia memutuskan untuk bermukim di Pinggir Hulu Melaka. Dia mengisi hari tuanya dengan menghambakan diri kepada ALLAH dan meninggalkan dunia pertarungan. Bagaimanapun, kejahatan seolah-olah mengejarnya sampai ke hujung nyawa. Berjayakah Saifudin menewaskan mereka?
Ramlee Awang Murshid dalam karya terkini, SUNAN MUSAFIR, lebih banyak bermain dengan ‘ruang dan waktu’. Lebih menitikberatkan ‘cinta dan air mata’. Mengutamakan ‘perjuangan dan kesabaran’. Yakinilah... pada ketika diri merasakan tidak mempunyai sesiapa, ALLAH itu mencukupi segala-galanya. - SINOPSIS
7. SUNAN NAGGROE SANG KEMBARA
DEK kerana fitnah dan dihukum bapa sendiri, Saifudin menjadi perantau di bumi Serambi Mekah - Aceh. Banyak ranjau yang terpaksa dilalui sebelum bermukim di situ. Saifudin diangkat menjadi anak asuhan kepada Wali Sufi. Memilih mendalami agama Islam berbanding seni persilatan.
Di sinilah perawakan Saifudin terbentuk. Dari anak manja di Punggor berubah menjadi pemuda yang pendiam. Ajaran agama Islam banyak membentuk caranya bertingkah laku. Menjadi di antara kalangan pemuda yang taat berjemaah di musollah. Sentiasa mengiringi Wali Sufi ke mana-mana dalam menyelesaikan urusan. Juga menjadi pemberi minum di kalangan anak-anak murid guru persilatan terhebat itu. Hatta, sering menjadi mangsa buli Djailuh dan Sadik di gelanggang persilatan.
Kemunculan Ratna Sang Ratu Sulaman yang menyusup ke bumi Aceh dengan satu tujuan - Wali Sufi untuk menghancurkan keampuhan Aceh daripada serangan Kerajaan Pulau Utara yang sering kecundang di dalam kancah peperangan. Namun Ratna gagal melakukannya. Justeru, anak asuhan Maharani itu menyasarkan Saifudin. Membunuh Saifudin dipercayai bakal membunuh semangat juang Wali Sufi.
Rombongan kerajaan Pagar Ruyong tiba di Aceh. Engku Aminah, anak kerabat yang rupawan menjadi perhatian anak-anak muda negeri ini. Namun Engku Aminah memilih Saifudin kerana tertarik dengan akhlak terpuji pemuda itu. Bunga cinta mulai tumbuh subur. Engku Aminah mulai menyedari rasa kasihnya pada Saifudin biarpun dalam tempoh yang singkat. Namun Ratna muncul menjadi batu penghalangnya kerana ada sekelumit rasa cemburu membajai jiwanya.
RAMLEE AWANG MURSHID menerapkan unsur cinta dalam karyanya kali ini. Cinta yang terkawal peradabannya. Cinta bersifat fitrah. Jarang sekali rasa cinta itu muncul bermula dari kebencian. Namun itulah yang berlaku. Cinta tiga segi antara Saifudin, Engku Aminah dan Ratna Sang Ratu Sulaman. Cinta yang wujud dari peperangan, kemarahan dan dendam. Penuh aksi mendebarkan. Digelumangi magis dan kesaktian. Pelayaran dan pengembaraan yang terasa menggugah rasa hati. - SINOPSIS
8. SUNAN CINTA NAN SAKTI
CINTA menuntut seluruh pengertian. Saifudin dan Ratna Sang Ratu Sulaman menyulam cinta dalam kancah pertempuran, permusuhan dan perjuangan. Cinta – tidak terlafaz dalam lisan. Hanya suara hati yang melagukannya biar dilandai krisis paling parah. Cinta – bakal diakhiri dengan peperangan. Mengorbankan insan tersayang. Apakah semua ini mahar untuk sebuah pernikahan?
Wali Sufi – melarang cinta Saifudin dan Ratna Sang Ratu Sulaman atas alasan yang berbeza. Cintai Penciptamu terlebih dahulu nescaya cinta fitrah suci bakal dikurnia-NYA.
Maharani - menegah cinta Sang Ratu atas sebab... cinta itu melumpuhkan sifat serikandi seorang pejuang.
“Aku akan kembali mendapatkanmu, Saifudin. Akan kuhancurkan kau dalam gumpalan tanah negerimu sendiri. Akan aku pastikan kuburanmu tidak bertanda. Akan kupastikan kematianmu tidak diratapi... apatah lagi untuk dikenang. Seluruh marga negerimu akan kuseksa. Kujadikan negerimu sebuah neraka dunia!” - Ratna Sang Ratu Sulaman.
“Sebagai manusia... aku sayang padamu.”
Saifudin dengan gelar Laksamana Sunan.
Dalam kancah peperangan dan permusuhan yang sedang rancak bergolak, maka...
Di sinilah... lahirnya seorang legenda.
Di sini jugalah zahirnya sebuah cinta.
RAMLEE AWANG MURSHID mengekalkan rentak cinta dan aksi dalam alur cerita karyanya kali ini. Nanggroe Sang Kembara menempuhi banyak gendala dalam perjalanan meraih Cinta Nan Sakti. Perjuangan tidak mengenal erti lelah biarpun hampir tewas. Kebangkitan merupakan kemuncak sebuah hakikat dalam layar sebuah hikayat.


No comments:
Post a Comment